10 Ciri Akhlak Terpuji
Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’  Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir  pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu  perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati  manusia”.
Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat  dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya.  Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik  akhlaknya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah  pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya.  Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh  subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur,  tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi  tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)
Akhlaq yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini  telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam  hadisnya (yang bermaksud, antara lain:
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.
Hal ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:
“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Al-Qalam: 4)
Juga dalam firman Allah swt. lagi:
Orang –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka  bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh  berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada  Allah kembali segala urusan.
(Al Hajj, 22 : 41)
Firman Allah swt. lagi:
Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu  kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada  Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan  memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak–anak yatim,  orang-orang miskin, (yang memerlukan pertolongngan) dan orang-orang yang  meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan  menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia  berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan,  peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka  itulah orang-orang yang bertakwa.
(Al-Baqarah, 2: 177)
Akhlaq yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang  sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.  Sebuah athar menyatakan (antara lain, bermaksud):
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita  tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan  dibuktikan dengan amalan”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya: Apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan, baginda menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul khalq).
Diriwayatkan dari Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya  kepada Rasulullah saw. Tentang bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw.  “Bakti itu baik budi pekerti, dan dosa itu ialah semua yang meragukan  dalam hati dan tidak suka diketahui orang.” (HR. Muslim)
Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih  berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul  Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)
Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah saw. bersabda,  “Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang  baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa  dan solat malam.” (HR. Abu Daud)
Jabir ra. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang  yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti  adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan  terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara,  sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.”  (HR. At Tirmidzi).   
Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan  kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam.  Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami  adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan  pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk  menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk  mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan  muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang  sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim  hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung  zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti  zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku  pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang  minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus  Pencipta Yang Maha Esa.
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan  membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki  manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati  dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa  manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat,  pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :
“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
 (Ar-Ra’d: 11)
Di antara ciri-ciri akhlaq yang sewajarnya menghiasi diri seseorang  insan supaya ia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlaq-akhlaq  berikut:
1.     Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang  dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara  halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang  berbunyi:  
“Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya  yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di  antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui  oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari)  segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan  kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah  ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di  sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di  dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.  Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya.  Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik,  baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya.  Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)   
Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana  yang diriwayatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith  baginda (antara lain, bermaksud):
“Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk  dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu  perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia  meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam  kesalahan”
2.     Memelihara penglihatan.
Seseorang muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat  perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap  sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke  kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim  mengingatkat orang –orang mu’min supaya memelihara diri dari penglihatan  yang tidak memberi faedah, firman Allah Subahanu Wata,ala:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman:  "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang  demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha  mengetahui apa yang mereka perbuat".
 (An-Nur: 30)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):
“Pandangan itu ada satu panahan dari panahan iblis”
Baginda juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):
“Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.”
                                          (Hadith Riwayat At Tabrani)
3. Memelihara Lidah
Seseorang muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan  kata-kata yng tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor,  percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.  Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu  sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan  yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah  sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam  diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram  atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan  darinya adalah jarang.”
Sebenarnya banyak dari hadith-hadith Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah  ke atas empunya diri (antara lain):
“Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya”
(Hadith riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
“Bukanlah ia seorang mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.”
(Hadith riwayat At Tarmizi)
Sabda baginda lagi:
“Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa  yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang  banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)
4. Bersifat Pemalu.
Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun  demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan  kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur  urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak  meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup seta memadai sekadar  yang ada dan sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan dari Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah seorang yang sangat  pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam  puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah  (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah  ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu  cabang dari Iman”
Berhubung dengan sifat malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat  malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan  kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
5. Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di  dalam diri seseorang Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut  kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara  yang tidak menyenangkan, malah jalan da’wah sememangnya penuh dengan  kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang  memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal  Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh  malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.
Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang  pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab  menyampaikan da’wah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza  kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya. Da’i akan menyampaikan  da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim, orang yang  berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah  bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah  tersinggung. Oleh yang demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada  semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka.  Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya.  Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi,  ketabahan dan lemah lembut.
Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi  menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan  sifat-sifat sabar, lemah lembut dan berhati-hati.
Arahan-arahan Dari Al-Qur’an:
Di antara arahan-arahan al-qur’an ialah:
Firman-firman Allah:
“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”.
(Al-Syura, 42: 43)
“Maafkanlah mereka dengan cara yang baik”
(Al-Hijr, 15: 85)
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.
(Az-Zumar, 39: 10)
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(An-Nur, 24 : 22)
“Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan”.
(Al-Furqan 25 :63)
 Arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi.
Di antara arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi ialah:
Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang  yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”
“Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya,  Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya  kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah.  Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil,  maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang  yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim  terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”
“Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya  di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah  orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun  segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua  bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat.  Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab:  “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan  kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada  mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik  ganjaran bagi orang yang beramal”
Contoh-contoh praktikal dari Nabi:
1.      Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan          pembahagian rampasan perang) berkata: “Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredhaan Allah”. Setelah diceritakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:
“Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.
2.      Anas Radiyallahu anh telah berkata:
“Pada suatu hari Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain  selendang buatan najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab  Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari  belakang sehingga meninggalkan bekas di leher baginda. Badwi tersebut  berkata : “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada  di sisimu, lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan wajah yang  tersenyum dan baginda bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan  supaya berikan kepadanya.”
3.      Abu Hurairah menceritakan:
“Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad bawalah gandum ke  atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta  engkau dan bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain  selendang Rasulullah sehingga meninggalkan kesan kemerahan di leher  baginda. Lalu Rasulullah memerintahkan supaya membawa kepada Badwi  tersebut seguni gandum dan tamar”.
4.      Al-Tabrani menceritakan:
“Bahawa seorang wanita berkata lucah (yakni  ucapan yang menimbulkan berahi) kepada sekelompok lelaki, kemudian ia  lalu dihadapan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika Nabi sedang memakan  roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita itu berkata: “Lihatlah kamu  kepadanya, ia duduk seperti seorang hamba abdi dan ia makan seperti  seorang hamba abdi”.
5.      Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:
“Bahawa seorang leleki berkata : “Wahai  Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya  hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya, saya  berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat terhadap saya,  saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras terhadap  saya.” Lalu baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau berbuat seperti  yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau  tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat  demikian”.
6.      Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang dengan Rasulullah dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada bersama dan ia hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Umar, sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.
7.      Diriwyatkan bahawa Nabi Isa  Alaihissalam bersama para pengikut setianya (Hawariyyun) dari satu  kampung ke satu kampung yang lain kerana berda’wah. Lalu di dalam  da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik,  sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan  maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan itu  lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda  berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya”.
Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang  menguatkan lagi tuntutan ke atas para penda’wah supaya bersifat  lemah-lembut, sabar dan belapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran  yang menyakitkan itu datangnya dari kaum kerabat, sahabat-handai,  orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara mara kerana  sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan  kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta  perbezaan. Cukuplah oleh seorang penda’wah itu mendapat apa yang  diredhai oleh Allah.
6. Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta.  Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah  dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang  paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya  syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti  ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was  syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari  sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan  benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan  demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari  tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa  kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat  dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang  dilaknat.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang  yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai  seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada  kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang  lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai  seorang pendusta”.
(Muttafaqun ‘alaihi)
7. Bersifat rendah diri
Seseorang mislim mestilah bersifat tawadhu’ atau merendah diri  khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak  membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang  kaya. Rasulullh Sallallahu’alaihiwasallam sendiri memohon perlindungan  kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri).  Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):
“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadith qudsi Allah berfirman :
“Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan  diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari  keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadith Qudsi riwayat Muslim)
8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat 
Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain.  Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi  firman Allah:
“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan  dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa  dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah  sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang  dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu  merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah  maha penerima taubat lagi penyayang”.
(Al-Hujurat, 49 : 12)
Allah berfirman lagi:
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang  mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka  sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Al-Ahzab, 33 : 58)
Dan Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):
“Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya  sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat  orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan  mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah  akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.”
(Hadith riwayat Abu Daud)
9. Bersifat pemurah
Seorang muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan  jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat  menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya  membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka  yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini,  lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim sendiri  terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang  dikaitkan dengan sifat pemurah.
Diantaranya:
“Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.”
 (Al-Anfal, 8: 3)
“Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan  janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan  Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu  akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak  dianiayai”.
(Al-Baqarah, 2 : Ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan  mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  (antara lain, bermaksud):
“Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh  seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua malaikat lalu  seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada si hamba  yang menafkahkan hartanya”. Manakala malaikat yang ke dua berdo’a : “Ya  Allah, berikanlah kebinasaan kepada sihamba yang bakhil ini”.
10. Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim  mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai.  Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip  Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian,  cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam  seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan  merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw.  Firman Allah swt yang bermaksud:
"    Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu  suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)  Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )



Tidak ada komentar:
Posting Komentar